Friday, 30 November 2012

My Family Journey



        Assalamualaikum serta salam sejahtera. Di sini saya ingin berkongsi cerita serta pengalaman-pengalaman hidup saya. Saya dilahirkan pada 23 Oktober 1981 di dalam sebuah keluarga yang sederhana. Ibu saya Azizah binti Rejab seorang suri rumah manakala abah saya Mohd Raslan Bin Shaari seorang kakitangan LLN dahulunya dan kini dikenali dengan nama TNB (Tenaga Nasional Berhad). Saya mempunyai 3 orang adik beradik. Saya Rosazlina anak yang sulung kemudian adik lelaki saya Mohd Rizal dan adik bongsu saya Rosliza. Kami dibesarkan dengan penuh kasih sayang, cukup ilmu agama dan ilmu pengetahuan diberikan kepada kami. Walaupun adik  beradik kami tidak ramai keluarga kami meriah dan gembira sentiasa. Beza umur saya dan adik bongsu 11 tahun manakala beza umur adik kedua dan adik bongsu pula 8 tahun. Kami semua berkesempatan belajar di asrama. Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim (MPSAH) , Kedah.
        Pada tahun 2004 saya telah bertemu jodoh dengan Muhamad Rizal Bin Ismail dan alhamdulillah kini, kami telah dikurniakan empat orang cahaya mata. Dua orang perempuan dan dua orang lelaki. Anak pertama diberi nama Balqis Nur Batrisyia (25.12.2005), anak kedua Muhammad Aisy Danial (20.08.2008), anak ketiga Muhammad Rayyan Zikry (23.10.2010) dan anak bongsu pula ialan Airis Nur Alisha (24.02.2012). Kehidupan kami memang meriah. Di sini, saya ingin berkongsi pengalaman-pengalaman yang telah saya lalui. Dalam masa empat tahun ini, saya telah melalui tiga kali kehilangan ahli keluarga yang paling saya sayangi. Dan kini hanya kenangan indah yang dititipkan buat saya dan adik lelaki saya. Hanya tinggal kami berdua untuk meneruskan hidup.
        Pada 11 Oktober 2008, kesemua ahli keluarga saya telah pergi ke Alor Setar untuk menemani adik kedua saya melapor diri bagi tawaran kenaikan pangkat dari Langkap. Abah, mak, adik lelaki dan adik bongsu saya pergi ke Alor Setar. Saya tidak ikut serta kerana akan ke sana  bersama suami semasa menghantar barang adik nanti. Pada tarikh tersebut hati saya berasa sayu dan tidak gembira. Walaupun dalam suasana  11 lebaran lagi, tetapi hati rasa sayu. Pada tarikh tersebut juga saya baru sahaja seminggu habis berpantang. Sebelum keluarga saya bertolak ke Kedah, saya dan suami keluar terlebih dahulu untuk menghadiri rumah terbuka rakan di Langkap. Kemudian kami pergi ke rumah mertua di Tapah Road. Ibu saya telah berpesan kepada kami agar tidur di rumah mereka sehingga mereka pulang semula. Perasaan saya dan suami pada hari tersebut sama. Rasa tidak sedap hati. Di tambah dengan cuaca yang tidak menentu dan hujan. Apabila sampai sahaja di rumah mertua saya tidak membawa keluar telefon bimbit kerana hari hujan dan ingin segera membawa anak kecil masuk ke dalam rumah. Petang itu, anak saya yang kecil asyik menangis tidak berhenti. Selepas saya selesai solat maghrib hati saya makin resah. Anak masih menangis. Tiba-tiba suami saya mendapat panggilan daripada rakan adik lelaki saya bertanya tentang adik. Dengan nada kuat, suami menanyakan adakah rakan adik itu tidak tahu bahawa mereka ke Kedah? Kemudian suami membawa telefon bimbitnya keluar rumah untuk bercakap dengan lebih lanjut. Hati saya pada ketika itu mula berdebar-debar kerana suami menerima panggilan mengejut. Tidak lama kemudian, suami masuk semula ke dalam rumah dan memandang tepat kearah saya. Saya tertanya-tanya…. Apa yang mampu suami cakap kepada saya sambil memegang kedua-dua bahu saya, ibu sabar banyak-banyak ya…Mak, abah, dan adik-adik kemalangan di Sungai Petani, Kedah. Mereka kemalangan dengan lori kontena. Terjelopok, lemah longlai saya rasakan.Ya ALLAH..itu yang mampu ku ucapkan..suami berkata, tapi…kesian kat adeq, adeq dah tak ada…fikiran saya bercelaru pada masa tu…macam-macam bermain difikiran ini…sungguh berat dugaan ini… saya cuba buat yang termampu. Saya perlu kuat untuk meneruskan hidup ini. Saya rasa bagai hendak terbang ke Kedah. Tapi saya tidak mampu. Jenazah adik saya perlu uruskan. Mak, abah dan angah semuanya kritikal. Kemudian saya mengambil telefon di dalam kereta setelah saya semakin kuat. Saya memeriksa data panggilan, ada panggilan tidak dijawab dalam jam 4 lebih daripada arwah adik. Itulah panggilan terakhir daripada arwah adik. Tapi saya tidak sempat jawab. Terputuslah kasih. Ada panggilan daripada Hospital Sultan Abdul Halim, Balai polis Sungai Petani. Kemudian saya dan suami memeanggil semula nombor yang tertera untuk mendapatkan kepastian. Memang benar, ALLAH lebih menyayangi arwah adeq Rosliza. Moga ALLAH mencucuri rahmat ke atasmu adikku sayang. Kepada saudara mara semua yang terlintas difikiran saya hubungi dan minta sampaikan pesanan. Saudara di utara banyak membantu saya menguruskan apa yang patut dilakukan dengan segera. Mereka yang menguruskan urusan menuntut jenazah adik dan sebagainya. Terima kasih banyak-banyak duhai saudara maraku semua. Budi kalian tidak terbalas, hanya ALLAH yang dapat membalasnya. Selepas Isyak saya dan suami ke rumah makcik di Langkap membawa berita sedih ini dan seterusnya berbincang dengan rukun tetangga mengenai urusan jenazah arwah adik. Alhamdulillah, selepas semuanya mendapat kata sepakat saya dan suami pulang semula ke rumah mertua kerana kedua-dua anak kami ditinggalkan bersama mertua. Sebelum pulang ke rumah mertua, saya dan suami pulang ke rumah mak dan ayah saya. Saya mengemas ruangan dapur. Tidak terfikir langsung pada ketika itu untuk membuka televisyen untuk menonton berita tengah malam. Tragedi Oktober ini memang disiarkan pada berita tengah malam tersebut. Malam tersebut memang mata saya tidak dapat dilelapkan walaupun sesaat. Macam-macam bermain difikiran. Berdebar-debar risaukan keluarga yang masih lagi di ICU dan zon merah. Adik lelaki saya koma dan banyak kehilangan darah kerana hatinya pecah. Saya cuma berharap agar hari cepat siang kerana banyak urusan perlu diselesaikan dan kami perlu segera ke Sungai Petani untuk melihat keadaan mak, abah dan angah pula……. 
          Sambungan...saudara mara yang tiba awal di hospital telah melihat jenazah arwah adik di bilik mayat untuk pengesahan setelah di post motem, kesian arwah adeq, kakinya patah, tengkuknya juga patah. Maafkan akak adeq, kerana tidak mampu nak mengecam mayat dan menuntut jenazah adeq di sana..Akak tidak mampu berbuat demikian... Tidak sedetik pun mata saya mampu saya tutup..saya dan keluarga tidur di rumah mertua. Kami semua tidur di ruang tamu. Sesekali air mata saya menitis tatkala melihat anak-anak yang sedang tidur. Ibu mertua tidak lekang memandang saya. Ibu mertua pun tidak dapat tidur. Beliau sedih melihat saya berkeadaan begitu. Hati saya sayu sepanjang malam. Apa yang berlaku memang tidak di duga sama sekali. Selalunya saya hanya melihat di kaca TV tetapi kali ini kemalangan yang berlaku menimpa keluarga saya sendiri. Dari semasa ke semasa saya menghubungi rakan-rakan adik dan saudara mara yang berada di Sungai Petani, Kedah. Tepat jam 5.30 pagi saya terus mandi dan solat. Fikiran saya bercelaru, hati sedih dan pilu. Bila hari semakin cerah saya menghubungi keluarga yang masih belum saya maklumkan tentang kejadian tersebut. Segala urusan menuntut jenazah arwah adik dibuat oleh sepupu yang berada disana. Di Perak saya dan suami menguruskan urusan yang perlu dibuat. Kami berdua memang tiada pengalaman namun cuba buat apa yang terdaya dan terbaik. Pagi itu juga setelah selesai menelefon rakan adik untuk mengetahui keadaan di sana, tiba-tiba ibu saudara saya iaitu adik abah saya menelefon sambil menagis-nangis menanyakan betulkah liang perlu dikorek lagi satu kerana adik lelaki saya telah tiada. Saya pun menafikan dan menyatakan saya baru sahaja mengesahkan adik saya masih bernyawa dan berada di ICU. Dalam keadaan begitu, masih ada juga insan yang boleh mereka-reka cerita sebegitu. Sedangkan kami sememangnya tengah bersedih. Nauzubillah....Segala urusan di sini telah siap sedia. Jenazah arwah adik telah di bawa dari Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah dalan jam 8.30 pagi setelah selesai dimandikan dan dikafankan di hospital. Sebelum jenazah dibawa masuk ke dalam ambulan TNB, sanak saudara yang berada di hospital telah memohon jasa baik daripada Timbalan Pengarah Hospital untuk memberi peluang kepada abah saya yang telah sedar melihat jenazah anak kesayangannya buat kali terakhir sebelum dibawa pulang ke Perak untuk disemadikan. Tetapi pada masa tu keadaan abah tidak begitu stabil. Sebenarnya saya tidak membenarkan mereka berbuat demikian khuatir akan menjejaskan kondisi abah yang belum stabil. Namun, semuanya telah berlaku. Abah sedih melihat jenazah arwah adik. Beliau tidak begitu kuat pada masa itu kerana banyak tulang rusuk yang patah. Oleh itu mereka mengiringkan jenazah untuk ditatap oleh ayahanda yang tercinta. Pergilah kasih...pergilah sayang...abah redha dengan pemergian ija...mak tidak dapat bersama kerana tidak stabil dan marih meracau dan tidak ingat apa yang berlaku. Kemudian jenazah dibawa pulang ke Perak dengan diiringi oleh sepupu, Sheikh Yusof yang menemani jenazah dan saudara mara yang lain dengan kenderaan mereka.
         Jam 10.00 pagi saya menelefon sepupu dan beliau menyatakan mereka telah sampai di Taiping. Lebih kurang jam 11.30 pagi jenazah arwah adeq tiba diperkarangan rumah makcik..setelah berbincang malam semalam, kata sepakat telah dibuat agar segala urusan di buat di rumah makcik kerana rumah mak dan abah perlu dikemaskan terlebih dahulu. Setibanya jenazah arwah adeq, hati saya berdebar-debar...saudara mara dan mertua risau jika saya pengsan, tapi alhamdulillah...ALLAH telah memberikan kekuatan untuk saya menghadapi semua ini. Bila jenazah dibawa ke dalam rumah, saya dipanggil terlebih dahulu untuk melihat jenazah adik. Subhanallah, rupa adik seakan-akan sedang tidur lena.Walaupun bahagian tengkuk dan lehernya tercedera, namun jenazahnya masih sempurna. Saya mengucup jenazah adik yang sudah sejuk dan kaku. Sedih hati saya kerana sebelum mereka ke Kedah, arwah adik sihat walafiat. Namun setelah pulang, jenazah adeq yang tiba..saya redha...moga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman hendakNya...amin..Ada orang cakap pada saya adeq mati syahid kecil...kerana niat arwah nak menemani abangnya bekerja. Alhamdulillah...Selepas itu, seorang demi seorang dipanggil untuk menatap jenazah arwah adik buat kali terakhir sebelum disembahyangkan..Rakan-rakan arwah ramai diluar rumah makcik. Beliau seorang yang peramah serta disayangi oleh semua guru. Pada peperiksaan pertengahan yang lalu arwah adik mendapat tempat pertama di dalam alirannya iaitu aliran ICT. Tetapi ALLAH lebih menyayanginya. Ramai saudara mara serta sahabat handai solat jenazah. Setelah selesai solat jenazah, jenazah dibawa ke tanah perkuburan Atta Duri, Langkap (Taman Memperingati Alam Barzakh) untuk disemadikan. Sungguh ramai saudara mara serta sahabat handai hadir untuk mengiringi arwah adik. Penuh kawasan tanah perkuburan tersebut....
          Setelah selesai urusan pengkebumian arwah adik, kami bergegas ke Hospital Sungai Petani. Di hospital, keadaan amat tegang kerana adik lelaki saya berada di ICU dan sedang koma, manakala abah dan mak kedua-duanya berada di zon merah. Mak tidak ingat apa yang berlaku. Setelah 3 hari berlalu saya mengambil keputusan untuk membawa mak dan abah ditukarkan ke Hospital Pantai Putri, Ipoh. Kakak sepupu saya menguruskan segala urusan pertukaran dan berbincang dengan pihak kebajikan TNB, Hospital Sg Petani  serta pihak Hostital Pantai Putri, Ipoh. Segala risiko yang akan berlaku akan ditanggung kami sendiri.

6 comments:

  1. Bersabar banyak-banyak dengan dugaan Allah..sedih saya membacanya..Al-fatihah untuk arwah..

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana sudi membaca pengalaman hidup saya....tapi, cerita ini belum selesai lagi...insyaallah jika ada ruang dan peluang akan saya sambung hingga cerita yang terkini..Al-Fatihah..

    ReplyDelete
  3. Assalammualaikum wbt.
    Tahniah. Blog berinfomasi buat kita-kita Guru-guru Malaysia. Teruskan cikgu. Sudilah pula ke blog say di http://cikgurohanimu.blogspot.com
    Terima kasih

    ReplyDelete
  4. Blog cikgu cantik dan lengkap.Pelbagai nota dan maklumat yang berguna telah disediakan di sini.Tahniah cikgu^^

    ReplyDelete
  5. Terima kasih semua...bersama-samalah kita memanfaatkan ilmu dan pengetahuan yang kita ada. Selamat melakukan perkongsian ilmu ya rakan-rakan seperjuangan...

    ReplyDelete